Google
 

18 July 2010

Epidural Kurangkan Sakit Bersalin ??

Suntikan epidural diberi apabila pesakit mula menunjukkan tanda hendak bersalin. Epidural menahan kesakitan bersalin dengan menghalang buat sementara waktu saraf yang bermula dari rahim ke otak.
Antara faktor yang menambah kesakitan ketika bersalin:

• kelahiran anak pertama
• induksi bersalin (penambahan ubat Pitocin) untuk mempercepatkan bersalin
• kehamilan pada usia muda
• obes dan kesakitan tulang belakang sewaktu datang haid.

Epidural tidak digalakkan untuk:
• ibu yang acap kali bersalin
• ibu dengan bukaan servik telah mencapai 8 sentimeter kerana tempoh bersalin sangat cepat dan faedah suntikan epidural kurang bermakna.

Kebaikan suntikan epidural
• menahan kesakitan pada peringkat pertama dan kedua kelahiran
• tidak memberi kesan mengantuk pada ibu
• memberi bius untuk kelahiran secara forceps, jahitan episiotomi dan
• meneruskan khidmat pembiusan jika memerlukan kelahiran secara pembedahan caesarean.
• menyebabkan salur darah mengembang, melancarkan peredaran darah kepada bayi dan
secara tidak langsung mengurangkan risiko bayi lemas
• ibu yang ada masalah kesihatan seperti sakit jantung dan tekanan darah tinggi,
epidural adalah ubat tahan sakit paling selamat dan sangat diperlukan.

Bagaimana suntikan epidural diberi?
• Ibu mengandung akan diminta duduk atau mengiring mengikut keselesaan
masing-masing selepas penerangan mengenai epidural diberikan.
• Kemudian satu tiub halus (diameter berukuran 0.45 milimeter) dimasukkan ke
bahagian belakang (lumbar) ibu dengan suntikan jarum di kawasan epidural (luar
kawasan saraf tunjang dan cecair meninges).
• Sebelum itu, suntikan ubat bius setempat diberi di kawasan kulit tempat suntikan
jarum. Kemudian jarum epidural dialihkan dan meninggalkan tiub halus di kawasan
epidural.
• Melalui tiub halus ini, kadar pengaliran ubat bius — biasanya bupivacaine atau
ropivacaine — memberi kesan kebas pada saraf yang meliputi kawasan rahim dan
servik.
• Kebanyakan orang dapat merasai suntikan pertama, tetapi hanya segelintir berasa
gelisah. Ramai wanita langsung tidak merasai tiub yang dipasang di belakang badan.
• Tiub ini dikeluarkan selepas bayi dilahirkan atau selepas jahitan episiotomi. Jika
ibu terpaksa menjalani pembedahan caesarean, pembiusan epidural ini diteruskan
sehingga selepas pembedahan.

Epidural tidak diberi kepada mereka yang ada
• risiko pendarahan seperti mereka yang ada haemofilia, sepsis (jangkitan kuman
dalam darah)
• jangkitan pada kulit di bahagian belakang badan
• pesakit jantung yang mengambil ubat mencairkan darah seperti warfarin dan aspirin
• wanita lumpuh
• mereka yang pernah melakukan pembedahan tulang belakang.

Lagi perkara yang anda perlu tahu:
Kira-kira 14 peratus wanita mengeluh mendapat sakit belakang kronik selepas bius epidural. Bagaimanapun, senario itu wujud di kalangan wanita yang mendapat suntikan epidural untuk menahan sakit bersalin dan bukan bius untuk pembedahan. Kerana, posisi untuk bersalin berbeza dengan puan yang melalui proses pembedahan. Apa yang boleh dikaitkan dengan proses bius ketika bersalin secara pembedahan adalah ketika sesi bius itu, ia menahan proses sensasi motor dan ini mungkin menyebabkan kedudukan atau posisi puan ketika proses atau selepas pembedahan dalam keadaan yang boleh mengakibatkan sakit belakang yang kronik. - Dr Fairuz A’shikin Abd Kadir, Pakar Perbidanan &; Sakit Puan, DEMC.

• Epidural tidak menjamin 100% dapat mengurangkan kesakitan kerana kadangkala faktor
posisi ketika pemberian epidural dan abnormaliti pada struktur tulang belakang
yang bengkok (kifosis dan skoliosis) menyebabkan kesukaran mendapat posisi jarum
epidural di kawasan lumbar tulang belakang.

• Kadangkala, kekebasan hanya dirasai di sebelah badan. Ibu mengandung perlu
mengalih posisi baring ke arah berlainan supaya mendapat kekebasan menyeluruh.

• Selepas suntikan epidural, kekerapan pemeriksaan tekanan darah ibu, degupan
jantung bayi, kadar kontraksi rahim diberi lebih perhatian bagi menjamin
keselamatan ibu dan bayi.

• Kebanyakan wanita yang memilih suntikan epidural menyatakan ia memberi kelegaan
kesakitan. Hampir semua yang pernah diberi suntikan epidural ingin melakukannya
sekali lagi pada masa depan. Kajian membuktikan epidural tiada kesan sampingan
jangka panjang.

• Dakwaan bahawa epidural menyebabkan sakit belakang adalah tidak benar. Ini kerana
selepas bersalin normal tanpa epidural pun, sakit belakang tetap wujud
disebabkan faktor berat badan, regangan pada kulit dan otot, serta postur ketika
mengandung.

Kesan Sampingan:
• tidak selesa akibat kekebasan pada bahagian bawah badan.
- biasanya kebanyakan wanita dapat menerimanya sebagai ketidakselesaan sementara.

• boleh menyebabkan tekanan darah rendah (hipotensi) dan tidak dapat membuang air
kecil dengan sendiri (mungkin memerlukan tiub kencing).
- biasanya pakar bius memberi ubat bius epidural berdos rendah yang berkesan untuk
mengelak masalah ini.

• sebahagian ubat bius epidural boleh menyebabkan kegatalan kulit
- ini dapat diatasi dengan menukar jenis ubat bius atau dirawat dengan ubat.

• Kurang 1/1000 orang mungkin mendapat jangkitan kuman pada kawasan epidural.
- biasanya ia tidak berlaku kerana prosedur epidural dilakukan dalam keadaan steril.

• ada juga mengadu mengalami sakit kepala yang kuat(Post Dural Puncture Headache)
- prosedur epidural yang sukar yang menyebabkan berlaku kebocoran pada kawasan cecair meninges.
- atasi dengan berehat dan minum air secukupnya dan mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol. Jarang sekali ia memerlukan rawatan perubatan lain.

Sumber:
DR MOHAMMED SULAIMAN IBRAHIM dalam Kurangkan sakit bersalin, Harian Metro

No comments: